Halaman

Ahad, 29 Julai 2012

KAHWIN MUDA


Ramai di antara pelajar IPTA mahupun IPTS yang ingin membina mahligai ini. Terutamanya bila sering mendengar kuliyah-kuliyah berkenaan zina, perhubungan dan sebagainya.
Ada yang berkata 'Oh, aku kena kahwin kalau macam ni, elak zina". Katanya salah seorang ahli qaryah dengan nada gurauan. Dan tidak dinafikan itu alasan kebanyakkan mereka.
Saya tidak mengatakan ini salah dan itu betul. Cuma kita perlu melihat banyak aspek lain lagi untuk mengelak zina lebih daripada satu jalan sahaja iaitu perkahwinan.
Isu nafkah, isu hak dan tanggungjawab antara suami isteri, isu tanggungan anak dan isu agama mesti diperhatikan. Ingat, bahawa ketidaksediaan kita dari aspek itu akan menjerumus perkahwinan tidak menjadi kebunan percintaan yang boleh dipetik hasilnya akan tetapi ia juga boleh membawa kepada kuburan percintaan yang ditinggalkan bila tidak lagi bernyawa. Saya bukanlah seorang yang telah berkahwin, tapi sekadar mengambil ibrah daripada orang-orang berjaya dan juga gagal dalam mengharungi alam ini. Bacalah dengan nama Tuhanmu gugusan kata ini.
Kebunan Percintaan
Perkahwinan diasaskan oleh cinta kemudian diakhiri dengan tanggungjawab. Cinta merupakan kepatuhan sementara tanggungjawab ialah bebanan. Bila sahaja kita melafazkan "aku terima nikahnya" ia bermakna kita berkata "aku bertanggungjawab keatasnya". Bukankah cinta telah menjadi penghias kepada tanggungjawab? Maka segalanya terletak di atas bahu si lelaki, terutamanya perkara melibatkan maruah dan dosa. Jika tidak dijaga selayaknya himpunan pahala berganda boleh bertukar menjadi gugusan dosa yang bertimbun.
Kebunan itu tidak boleh dipisahkan daripada aspek islam sebagai pendukung kehidupan. Islam adalah fitrah maka jalannya adalah juga selari dengan fitrah manusia. Islam terdiri daripada 3 aspek utama akidah(keimanan), syariat (peraturan) dan akhlak. Akidah ialah aspek iman yang mana mesti menjadi dasar kepada pembinaan kerukunan rumah tangga.
Selalu kita mengaitkan perkahwinan dengan istilah akan terbinanya sebuah masjid. Masjid merupakan tempat ibadah yang suci dan didasari pembinaanya atas dasar iman dan taqwa, tertegak di atas peraturan dan lahir daripadanya akhlak yang mulia. Apabila mahligai itu didasari oleh iman diawalannya maka apabila wujudnya krisis, ia akan lebih mudah kerana kita boleh kembali ke dasar tadi iaitu iman. Kita berkahwin kerana apa? Adakah kerana cinta ? kerana ikut sunnah? Kerana ikut-ikut? Kerana ingin membentuk keluarga bahagia? Ataupun kerana Allah Azzawajalla.
Bila kita berjaya untuk membentuk 'Basic Structure' maka senang untuk dirujuk daripada apa jua permasalahan. Persoalan memenuhi hak tidak lagi menjadi persoalan utama kerana hak Allah didahulukan lebih mengatasi hak suami isteri. InsyaAllah bila hak yang pertama didahulukan maka yang utama akan diutamakan. Allah didahulukan Keluarga diutamakan.
Apabila ini berlaku keduanya akan membentuk suatu perjalanan yang penuh berperaturan berlandaskan syariat. Hidup penuh berperaturan ini menjamin keduanya berada pada landasan kepatuhan. Agar apabila berjauhan tidak gundah, berpisah tidak gelisah. Si suami boleh memainkan peranan dan bertindak selayaknya atas dasar peraturan. Suami adalah 'king control' dalam sesebuah kebunan percintaan, mengawal, mendukung, melindung dan mendidik. Bila tugas ini selari dengan syariat maka akan lahirnya aspek akhlak.
Akhlak terbina atas dasar kepatuhan yang sudah sedia ada yang menjadi 'rules of life' peraturan kehidupan yang mesti dipupuk sejak pertama kebunan percintaan tadi terbina. Anak-anak akan merasakan indahnya apabila mempunyai ayah dan ibu berpegang pada syariat tidak hanya adat. Syariat bererti mendidik dan adat hanyalah menjaga. Bila mana ketiga-tiga faktor ini berlegar dalam ruang lingkup keluarga maka kita akan berjaya membina masjid dipertengahan malah hingga ke penghujung. Bukan sekadar pada permulaan. Ayah sebagai imam, ibu sebagai bilal dan anak-anak sebagai makmum.

Tiada ulasan: